Saturday 23 April 2016

Penyokong Tak Kisah Tentang Kedudukan Liga, Asalkan Wenger Dipecat


BEKAS pemain Liverpool, Jamie Redknapp mengulas mengenai kemenangan 2-0 yang diraih Arsenal ke West Bromwich Albion pada Jumaat, menyatakan keputusan itu tidak banyak mengubat kekecewaan penyokong The Gunners musim ini.



Arsenal hampir pasti terus kempunan untuk bergelar juara Liga Perdana Inggeris musim ini kerana kelab dari utara London ini berada di posisi ketiga dengan 63 mata dan hanya berbaki empat perlawanan.

Ini bermakna, pasukan ini hanya mampu meraih maksimum 75 mata jika mampu mencatat kemenangan dalam semua baki perlawanan, sedangkan ketika ini, Leicester City yang berada di kedudukan teratas telah mengumpul 73 mata, juga dengan baki empat perlawanan.

"Kemenangan ini adalah sesuatu yang baik, tetapi hanya menambah luka yang sudah ada. Arsenal tak seharusnya berada di posisi empat pasukan teratas sahaja. Itu sahaja tidak cukup dan para penyokong tidak senang dengan kedudukan ini," kata Redknapp, memetikSky Sports.

"Mereka mungkin akan berfikir 'jika kami hanya mampu berada di posisi empat teratas, situasi akan menjadi sama dan tiada perubahan. Jika mereka tidak berada dalam kelompok empat teratas, pasti akan berlaku perubahan'. Mungkin, itulah yang diinginkan sebahagian besar penyokong Arsenal," katanya.

Arsenal terakhir kali menjadi juara Liga Perdana Inggeris pada musim 2003-2004.